KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa perkara yang dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 4 Januari 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, Perdana Menteri memberinya tempoh sebulan bagi menyelesaikan perkara berhubung MA63. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran itu.
"Biarlah Perdana Menteri
umumkan. Saya hanya ditugaskan untuk menyelesaikan apa yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan," katanya selepas mengagihkan biskut sempena perayaan Hari Krismas di Thompson Corner, di sini.
Fadillah berkata, beberapa perkara berkaitan MA63 tidak dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan kerana perlu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
"Ada yang terpaksa menunggu sidang Parlimen untuk dibentangkan di Parlimen dan mendapat keputusan Parlimen,"katanya.
Fadillah juga mendedahkan ketika ini jawatankuasa teknikal MA63 sedang memuktamadkan beberapa perkara termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Sumber dari : Jiwa Bakti